KedaiBuku.Com.My own by Tomodachi Sdn Bhd (980465-K)

Manfaat membacakan cerita kepada anak-anak

Membacakan cerita kepada anak-anak dapat membina perhubungan neuron-neuron 'bahasa' dalam otak anak-anak anda. Ia juga penting untuk membantu perkembangan kognitif mereka.

Kajian telah dijalankan dan hasilnya merumuskan bahawa perkembangan perbendaharaan kata (jumlah perkataan yang difahami) bagi kanak-kanak yang sudah didedahkan dengan pembacaan cerita sejak bayi akan meningkat jauh lebih tinggi berbanding kanak-kanak yang tidak dibacakan cerita.

Ibubapa amatlah digalakkan supaya:

1. Mula membacakan cerita kepada anak-anak sejak bayi. 2. Tidak perlu menunggu anak-anak mencapai umur-umur tertentu untuk mula membacakan cerita kepada mereka. 3. Jadikan aktiviti membacakan cerita kepada anak-anak sebagai rutin.

Antara faedah-faedahnya ialah:

1. Membacakan cerita kepada anak-anak dan membaca bersama-sama mereka merupakan aktiviti yang menyeronokkan. Ini akan mempengaruhi mereka supaya lebih minat membaca dan mereka mungkin akan menjadikan membaca sebagai 'habit' mereka. 2. Membantu membina perhubungan yang lebih baik antara ibubapa dan anak-anak. Anak-anak akan membesar dengan bijak kerana sentiasa merasa bahawa mereka telah diberikan kasih sayang dan perhatian yang secukupnya daripada ibubapa yang kerap meluangkan masa bersama-sama mereka. 3. Meningkatkan perkembangan bahasa. 4. Menyemaikan minat membaca kepada anak-anak sejak mereka kecil. Ilmu pengetahuan yang bermanfaat adalah bekalan masa hadapan yang penting untuk anak-anak. 5. Membacakan cerita dapat menenangkan anak-anak yang meragam. 6. Menggalakkan peningkatan komunikasi antara ibubapa dan anak-anak. 7. Kanak-kanak pra-sekolah yang telah didedahkan kepada bahasa (sama ada melalui perkataan yang didengari atau yang dibacakan kepada mereka) sangat perpotensi untuk cemerlang di sekolah. 8. Banyak kajian mendapati bahawa pelajar yang suka belajar dan cemerlabg di sekolah, telah didedahkan dengan membaca sebelum pra-sekolah. 9. Seawal usia bayi, mereka juga mampu mempelajari sesuatu daripada aktiviti membaca buku cerita: perkataan menunjukkan bunyi dan konsep, perkataan dibaca dari kiri ke kanan, dan cerita akan diteruskan dengan menyelak halaman berikutnya. 10. Menggalakkan tempoh fokus yang lebih lama. Kemahiran penting untuk anak-anak belajar menumpukan perhatian. 11. Membina kemahiran mendengar yang baik dan imaginasi yang tinggi. 12. Meningkatkan tahap IQ dan kemahiran berfikir anak-anak. Mereka belajar mengenai perhubungan, situasi, personaliti, sebab dan akibat, belajar menggunakan logik serta baik buruk sesuatu perkara. 13. Membacakan cerita kepada anak anda dapat membantu mereka menghadapi pengalaman baru dengan lebih tenang. Contohnya, mereka akan lebih bersedia menghadapi hari pertama persekolahan jika ibubapa telah terlebih dahulu membacakan cerita tentang hari pertama di sekolah. 14. Membantu perkembangan jangka panjang dan meningkatkan fungsi otak anak-anak dalam peralihan verbal (bercakap) kepada membaca.

13 tips untuk menggalakkan aktiviti membaca:

1. Gunakan teknik-teknik membaca yang menarik, interaktif, menggalakkan mereka untuk berfikir dan berpendidikan. 2. Jadikan anak anda sebagai pendengar cerita yang aktif dan berinteraksi, bukan hanya sekadar mendengar. 3. Gunakan 'strategi yang berkesan' mengikut usia anak anda. 4. Anak-anak gemar mengikut tabiat ibubapa mereka. Jadi, ibubapa perlu menunjukkan tabiat itu terlebih dahulu. 5. Jadikan membaca rutin yang seronok, bukan paksaan. 6. Pilih waktu yang sesuai untuk membacakan cerita. Bukan dalam keadaan tergesa-gesa. 7. Pilih buku yang diminati oleh anak-anak. 8. Gerakkan jari anda sambil menunjukkan perkataan yang dibaca. Tidak perlu memaksa anak-anak untuk turut menggerakkan jari mereka. 9. Tidak mengapa kalaupun anak anda suka dibacakan buku yang sama berulang-ulang kali. Tetapi, jangan lupa untuk turut mendedahkan mereka kepada pelbagai jenis buku yang lain. 10. Membacakan cerita yang berkaitan boleh membantu anak anda menghadapi situasi baru seperti 'potty training', pergi ke sekolah dan berpindah ke tempat baru. 11. Beritahu anak anda supaya menghargai dan menghormati buku, menjaga dan menyimpan buku dengan baik. 12. Biarkan anak anda dikelilingi oleh buku. Letakkan di tempat yang mudah untuk mereka ambil dan biarkan mereka mengeksplorasi sendiri. 13. Bawa buku dalam perjalanan yang panjang, atau dalam keadaan menunggu.